Tuesday, August 3, 2010

Teknik Menghias


Teknik membuat ragam hias ini menggunakan alat-alat seperti pelapik kayu berukir, pengukir besi dan kayu, pengguris dawai, kikiran bunga pecah lapan dan ukiran bunga separuh bulat.  Terdapat berbagai-bagai jenis rupa bentuk seni tembikar, rupa bentuk yang paling terawal dicipta ialah periuk, belanga dan kukusan. Gaya bentuk atau motif corak yang digunakan ialah bebas ataupun bercorak semulajadi.
Walaupun kebanyakan dari labu-labu sekarang tidak lagi mempunyai fungsi yang tertentu, ianya dapat memdedahkan nilai-niali reka corak yang tulin dan mempunyai ciri-ciri bentuk yang asal.  Perhiasan permukaannya dikenakan dengan begitu padan sekali.  Semuanya adalah dengan kemahiran yang sedia ada dan menjadi satu kombinasi yang dapat menghasilkan rekaan yang begitu tinggi nilainya.
Teknik menghias bermula sejak labu-labu itu masih belum siap lagi.  Jalur-jalur timbul (panai) adalah merupakan hiasan permukaan yang begitu menarik.  Ia dibuat dengan menggunakan lengkaran tanah atau secubit tanah di mana ibu jari dan jari telunjuk memainkan peranan penting di atas permukaaan bentuk-bentuk labu yang masih separuh kering.  Motif asal panai ialah dari buah belimbing.
Bentuk yang telah siap tetapi masih belum begitu keras, diluru atau dilicinkan dengan sejenis batu luru yang dipanggil batu lintar.  Botol-botol kecil boleh juga digunakan untuk melicinkan labu.  Tujuan labu-labu itu diluru ialah supaya permukaannya menjadi licin dan menambahkan lagi kekuatan labu kerana tanah-tanah yang lembut akan menutup rongga-rongga tanah yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar.  Labu yang betul-betul licin akan mewujudkan warna hitam berkilat selepas ianya disepoh dengan sekam padi.
Motif-motif bunga yang diukir di atas sebatang kayu kecil dijadikan sebagai stamp-stamp kayu.  Motif-motif yang sering digunakan untuk menghiasi permukaan labu-labu ialah seperti bunga pucuk rebung, bunga pecah empat, bunga cengkeh, bunga tanjung, bunga padi, bunga kedudut, siku keluang, bunga lawang dan bunga cakar ayam.  Stamp-stamp kayu itu kemudiannya ditekan di atas permukaan labu yang telah diluru dengan teliti dan berhati-hati.  Labu-labu yang telah dihias, kemudiannya diletakkan di atas rak-rak kayu sebelum ianya dikeringkan oleh cahaya matahari.

Sunday, July 18, 2010

Ciri - ciri

1.  Tanah liat diambil dari tanah liat busut atau sawah.

2.  Proses menghancurkan tanah liat menggunakan lesung kaki.

3.  Proses pembinaan labu menggunakan pinggan/piring dan menggunakan teknik picit

4.  Proses pembakaran secara menyalai labu di atas para biuluh/kayu, manakala api di bawah. Tidak bersepuh dan berwarna hitam setelah dimasukkan labu yang panas dalam sekam padi.

5. Bentuk labu sayong tidak dibuat jambangan (mulut tembikar berombak)

6.  Ragamhias terdiri daripada motif-motif kaedah tekan.

Sejarah


Umumnya kraftangan tembikar terdapat pada semua kaum dan suku bangsa di dunia ini.  Reka bentuknya spontan dengan fungsinya pada zaman itu dan menjadi punca kegiatan ekonomi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

Walaupun secara langsung telah terdapat bentuk-bentuk tembikar dari luar, kira-kira sejak tahun 1100 M terutama dengan datangnya pengaruh dari China dan beberapa peradaban luar tetapi penciptaan dan rupabentuk tradisi tetap kekal.  Teknik pembuatan dan penciptaan orang Melayu tetap dalam taraf teknologi primitif.  Oleh itu, teknik yang serba sederhana tukang Melayu dapat melahirkan ciptaan yang uik terutama dari segi rupa bentuk labu dan ragam hias yang mempunyai nilai dan ciri-ciri tersendiri.

Menurut cerita, dipercayai bahawa labu telah dibawa ke Sayong oleh Tuk Kaluk yang datang dari Minangkabau dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar.  Tuk Kaluk merupakan salah  seorang yang mempunyai hubungan yang  rapat dengan istana, dikatakan telah dianugerahi  tanah oleh sultan di Kampung Kepala Bendang sebagai menghargai kepandaiannya membuat hasil pertukangan seperti pedang, parang, keris dan juga tembikar.  Sejak itu Tuk Kaluk menyumbangkan kebolehannya membuat labu kepada penduduk kampung.  Lama-kelamaan penduduk kampung tersebut pandai membuat labu hingga ke hari ini.

Penggunaan tembikar dalam kehidupan seharian memang meluas.  Labu Sayong bukan sahaja digunakan oleh golongan rakyat biasa malahan golongan istana turut juga menggunakannya sebagaimana yang dicatat oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu.  Sewaktu Sultan Iskandar Zulkarnain menghilir sungai dari istana Pulau Cempaka Sari, baginda turut membawa tembikar tanah ini yang  digunakan sebagai bekas air minuman dan untuk bersiram.

Thursday, July 15, 2010

Pengenalan


Labu sayung ialah sejenis bekas tembikar bernama labu berwarna hitam yang merupakan produk perusahaan dari Kampung Kepala Bendang, dalam Mukim Sayong, iaitu sebuah desa yang terletak 14 kilometer dari Kuala Kangsar, Negeri Perak. Dari kampung inilah perusahaan ini berasal kerana sumber bahan mentah iaitu tanah liat khas diperoleh dari kampung tersebut.