Tuesday, August 3, 2010

Teknik Menghias


Teknik membuat ragam hias ini menggunakan alat-alat seperti pelapik kayu berukir, pengukir besi dan kayu, pengguris dawai, kikiran bunga pecah lapan dan ukiran bunga separuh bulat.  Terdapat berbagai-bagai jenis rupa bentuk seni tembikar, rupa bentuk yang paling terawal dicipta ialah periuk, belanga dan kukusan. Gaya bentuk atau motif corak yang digunakan ialah bebas ataupun bercorak semulajadi.
Walaupun kebanyakan dari labu-labu sekarang tidak lagi mempunyai fungsi yang tertentu, ianya dapat memdedahkan nilai-niali reka corak yang tulin dan mempunyai ciri-ciri bentuk yang asal.  Perhiasan permukaannya dikenakan dengan begitu padan sekali.  Semuanya adalah dengan kemahiran yang sedia ada dan menjadi satu kombinasi yang dapat menghasilkan rekaan yang begitu tinggi nilainya.
Teknik menghias bermula sejak labu-labu itu masih belum siap lagi.  Jalur-jalur timbul (panai) adalah merupakan hiasan permukaan yang begitu menarik.  Ia dibuat dengan menggunakan lengkaran tanah atau secubit tanah di mana ibu jari dan jari telunjuk memainkan peranan penting di atas permukaaan bentuk-bentuk labu yang masih separuh kering.  Motif asal panai ialah dari buah belimbing.
Bentuk yang telah siap tetapi masih belum begitu keras, diluru atau dilicinkan dengan sejenis batu luru yang dipanggil batu lintar.  Botol-botol kecil boleh juga digunakan untuk melicinkan labu.  Tujuan labu-labu itu diluru ialah supaya permukaannya menjadi licin dan menambahkan lagi kekuatan labu kerana tanah-tanah yang lembut akan menutup rongga-rongga tanah yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar.  Labu yang betul-betul licin akan mewujudkan warna hitam berkilat selepas ianya disepoh dengan sekam padi.
Motif-motif bunga yang diukir di atas sebatang kayu kecil dijadikan sebagai stamp-stamp kayu.  Motif-motif yang sering digunakan untuk menghiasi permukaan labu-labu ialah seperti bunga pucuk rebung, bunga pecah empat, bunga cengkeh, bunga tanjung, bunga padi, bunga kedudut, siku keluang, bunga lawang dan bunga cakar ayam.  Stamp-stamp kayu itu kemudiannya ditekan di atas permukaan labu yang telah diluru dengan teliti dan berhati-hati.  Labu-labu yang telah dihias, kemudiannya diletakkan di atas rak-rak kayu sebelum ianya dikeringkan oleh cahaya matahari.